Ulama bantah penganjuran Musawah
KUALA LUMPUR: Persatuan Ulama Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP) membantah program 'Global Movement for Equality and Justice in the Muslim Family' (Musawah) anjuran Sisters in Islam.
Yang Dipertua PUMPP Dr. Wan Salim Wan Mohd Nor berkata pertemuan Musawah dilihat berhasrat mempertikaikan pelbagai prinsip Islam khususnya dalam hukum syariah berkaitan wanita dan kekeluargaan yang dipersetujui dan diterima oleh kesepakatan ulama muktabar.
"Perjumpaan ini juga akan memberi persepsi negatif kepada Malaysia dan bakal digambarkan sebagai negara yang mengamalkan undangundang Syariah yang mendiskriminasi wanita," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas saranan Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Berhubung Keganasan terhadap Wanita, Dr Yakin Erturk yang mengatakan Malaysia adalah antara negara-negara Islam yang perlu membawa pembaharuan dalam undang-undang keluarga Islamnya.
Dr. Wan Salim berkata PUM PP juga menyelar kehadiran pimpinan negara bagi merasmikan program berkenaan seolah-olah tidak merujuk terlebih dahulu kepada pihak berkuasa agama negara separti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Majlis Fatwa Kebangsaan.
Katanya perjumpaan itu bakal dihadiri oleh pelbagai tokoh Liberal Muslim yang dipertikaikan oleh ulama Islam Muktabar.
Mereka yang hadir termasuk Pengerusi Majlis Ideologi Islamik Muhammad Khalid Masud dari Pakistan, Farida Bennani (Morocco), Sana Benachour (Tunisia), Hussein Muhammad (Indonesia), Ziba MirHosseini (Britain), Zainah Anwar (Malaysia), Siti Musdah Mulia (Indonesia) dan Nur Rofia (Indonesia) serta aktivis bukan Islam Cassandra Balchin dari United Kingdom.
Katanya, PUM PP turut melihat perjumpaan itu menggunakan dana besar apabila 200 Liberalis Muslim dijemput dari 40 negara dan ditempatkan di hotel mewah bertaraf lima bintang di ibu negara.
Perjumpaan tertutup selama lima hari itu yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini bermula hari ini. BERNAMA
No comments:
Post a Comment